Follow us on Facebook

Hidup Ini Untuk Apa?

Pernahkah anda terfikir, apa tujuan kita hidup? Tambahan, mati bukanlah tujuan utama dalam kehidupan. Mati adalah ketentuan yang akan berlaku kepada semua makhluk. Sewaktu masih kanak-kanak jika ditanyakan, "Apakah cita-cita apabila dewasa kelak?". Tentukan akan dijawab dengan pelbagai jawapan seperti ingin menjadi doktor, jurutera, peguam dan banyak lagi. Namun, adakah itu sahaja yang ingin dicapai? Kalau difikirkan sekali lagi, banyak lagi perkara yang ingin kita capai, dan setiap insan mempunyai pendapat yang berbeza. Persoalannya, apakah tujuan utama yang wajib dicapai oleh setiap individu?

Renungkan sekali lagi saudaraku, apa yang bermain di minda anda pada ketika ini? Mungkin ada di antara anda yang berasa gelisah kerana sudah tersedar bahawa anda memang belum ketemu dengan tujuan hidup yang sebenar. Mungkin juga ada di antara berasa tenang kerana anda telah berasa yakin dengan tujuan hidup yang sedang anda fikirkan. Sungguhpun begitu, ada juga di antara anda sudah mendapat jawapan yang sebenar kerana itu anda tidak berasa gelabah. Apakah tujuan Allah S.W.T. mencipta kita jika tiada gunanya, tiada matlamatnya dan juga tiada perolehannya?

Tujuan yang Allah S.W.T. terangkan dalam al-Quran ialah:-

Pertamanya ialah untuk menyembah Allah S.W.T.
"Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku"
(Surah al-Zariyat: ayat 56)
Kedua, untuk menjadi khalifah(pemimpin) di muka bumi.
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di bumi". Mereka berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?" Dia berfirman, "Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui"
(Surah al-Baqarah: ayat 30)
Akhir sekali, untuk berdakwah atau dalam bahasa yang lebih mudah difahami amar makruf, nahi mungkar(menyuruh berbuat kebaikan, mencegah kemungkaran)
"Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang fasik."
(Surah ali Imran: ayat 110)
Lihatlah, betapa lalainya kita. Kita tak pernah ingat bahawa Allah S.W.T. telah berfirman di dalam al-Quran yang telah berusia mencecah 1400 tahun telah memberi tahu kepada kita apakah sebenarnya tujuan kehidupan. Hidup ini bukanlah untuk bersuka-ria, bukanlah untuk bersedih-sedih, tetapi untuk kita menjadi hamba yang mentaati Tuhannya, Khalifah bertanggungjawab yang menjalankan tugasnya dengan amanah dan muslim atau muslimat yang berdakwah yakni muslim atau muslimat yang menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti yang telah dinyatakan dalam al-Quran yang menjadi panduan umat Islam sejak diturunkannya.

Justeru itu, marilah sama-sama kita memahat ayat-ayat di atas di dalam hati masing-masing, supaya kita sentiasa ingat mengapa kita dihidupkan dan untuk apa kita dihidupkan. Sidang pembaca sekalian, marilah kita bersama-sama mengingatkan rakan-rakan kita di luar sana yang sudah lupa akan tujuan sebuah kehidupan. Jangan hanya baca, ingat dan amalkannya!

~Wallahu'alam~

0 comments:

Catat Ulasan